'foto lebaran 1439H'
Alhamdulillah, selesai satu bab. Selesai sudah urusan pembelian tiket anakanda Ikhwan untuk pulang semula ke Mesir pada akhir bulan ini. Setelah dua bulan bercuti di Malaysia termasuk menyambut Ramadhan dan Syawal, justeru tibalah masa untuk meninggalkan tanah tumpah tercinta ini bagi menyambung kembali jihad fisabilillah di medan menuntut ilmu.
Sejak dua minggu lalu saya menggodek-godek dari satu laman web ke laman web syarikat penerbangan. Mencari-cari tiket kapal terbang yang sesuai dan berpatutan. Bukannya apa, mana tahu jika ada tawaran menarik seperti promosi harga murah atau yang sewaktu dengannya. Jimatlah sikit! Tanpa jemu, pagi sekali dan petang sekali saya melayari laman web yang berkenaan. Demikianlah mudahnya zaman ini, semuanya melalui online. Apa sahaja!
Akhirnya, setelah menggodek sana-sini, ternampaklah satu tawaran tiket yang menarik. Wah, harga pun nampak ok. Penerbangan ke Cairo melalui syarikat penerbangan Saudi Airlines. Transit cuma sekali iaitu di Jeddah. Tanpa bertangguh saya pun membuat tempahan dan pembayaran.
Insya-Allah, anakanda Ikhwan akan berangkat meninggalkan bumi tercinta ini pada 01 Ogos. Sebagaimana berseorangan sewaktu pulang ke Malaysia dahulu, begitu juga untuk perjalanan kali ini. Tentunya saya amat mengharapkan doa daripada sahabat-sahabat agar urusan anakanda saya untuk pulang ke Mesir ini dipermudahkan serta diberikan keselamatan sepanjang perjalanan.
Allahu al-Musta`an!