Mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang (YAMCP) pada bulan ini bertempat di YAMCP Resort Maran. Sebenarnya kami bermesyuarat setiap bulan di dua lokasi tetap secara giliran. Pertama di Pejabat YAMCP Sungai Isap, Kuantan. Mesyuarat di sini lebih 'official'. Manakala bulan berikutnya pula diadakan di rumah rakit 'YAMCP Resort'. Letaknya di pinggit Sungai Pahang, Kampung Pesagi Chenor Pahang. Rumah rakit ini berkembar. Satu dilengkapi dapur, tandas dan ruang makan. Manakala satu lagi seumpama dewan yang berfungsi sebagai tempat solat, tidur dan bersantai-santai. Mesyuarat di sini lebih dalam keadaan santai. Rata-rata di kalangan kami menyukai mesyuarat di sini kerana beberapa sebab..
Ini adalah antara hidangan yang mesti ada setiap kali mesyuarat di YAMCP Resort. Masakan yang paling 'femes' di daerah Temerloh. Apa lagi jika bukan Patin Masak Tempoyak atau dikenali dengan Patin Gulai Masam di daerah Jerantut. Tetapi yang ini sangat istimewa kerana dimasak dengan cukup bahan perisanya, yang disediakan oleh sahabat kami yang memang bertaraf 'chef'.
Satu lagi yang membuka selera. Ikan Tilapia masak lemak kuning. Cukup lemak santan dan pedasnya. Bisa menitiskan peluh di dahi, dan bisa juga menambah kolesterol. Hentam sajalah, bukannya selalu, dua bulan sekali. Itupun jika hadir mesyuarat.
Tersedia menyambut ahli-ahli mesyuarat yang datang dari daerah Kuantan dan lain-lain daerah sejauh daerah Raub. Jika tidak habis dimakan, terpaksa (bukan terpaksa sebenarnya) bungkus untuk dibawa pulang. Yalah, jika ditinggalkan tiada siapa yang mahu menghabiskan, nanti membazir pula. Sementelah lagi sahabat-sahabat di sini sudah biasa atau 'puas cemuh' makan lauk patin ni.
Individu disebalik apa-apa yang terhidang. Sahabat kami, abang Rashid yang juga salah seorang ALP YAMCP. Seorang yang bagi kami sudah bertaraf 'chef' dengan masakan yang enak sehingga menjilat jari. Salah satu resepinya, gulai patin bakar pernah menjadi johan masakan antara sekolah-sekolah peringkat ASEAN. Salah seorang anak sahabat kami menyediakan resepi tersebut dalam pertandingan itu.
Acara menghabiskan apa yang ada.
"Cebok jangan tak cebok ustaz". Sahabat kami, Ustaz Mizi yang baru mendapat 'title' YB dalam PRU 14 baru-baru ini. Memenangi salah satu kerusi DUN yang ditandingi di negeri Pahang. Syabas YB!
Selepas makan kena rehat-rehat dulu sebelum mula mesyuarat. Nak bagi nasi turun ke bawah dulu, jika tidak tak selesa nak bermesyuarat. Jadi ambil kesempatan berehat sambil bergebang-gebang di atas perahu fiber. Di rumah rakit ini terdapat 4 buah perahu fiber dengan pelbagai saiz yang digunakan untuk memancing dan menahan pukat di Sungai Pahang ini.
Mesyuarat bermula di dewan rumah rakit. Masih ada yang terbaring kekenyangan di rumah rakit sebelah. Jangan sampai tertidur dah la. Tak mesyuarat mana nanti!