Solat Dhuha dan Doa Solat Sunat Dhuha


Solat sunat dhuha adalah salah satu daripada amalan solat-solat sunat yang digalakkan untuk dilakukan. Ianya dipanggil solat dhuha kerana waktu untuk melakukan solat ini dikhususkan untuk dikerjakan pada waktu dhuha sahaja.

Daripada Abu Dzar R.A., Rasulullah ﷺ bersabda:

“Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.”- Hadith riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud

Waktu Solat Dhuha
Pengiraan waktu dhuha mengikut kaedah astronomi adalah berdasarkan formula waktu Syuruk ditambah 1/3 perbezaan di antara waktu Syuruk dan waktu Subuh. Secara amnya, waktu dhuha akan bermula 28 minit selepas waktu Syuruk dan berakhir sejurus selepas masuknya waktu Zohor. Namun begitu, para ulama’ mengatakan bahawa waktu yang terbaik untuk mengerjakan solat dhuha adalah di dalam lingkungan jam 9:30 pagi.

Cara Solat Sunat Dhuha
Jumlah Rakaat
Solat sunat dhuha perlu dilakukan sebanyak 2 rakaat untuk setiap kali solat, dan ianya boleh dilakukan sehingga 6 kali solat (jumlah 12 rakaat) setiap hari.

Niat Solat Dhuha
Niat solat dhuha adalah seperti berikut:


(Rumi: Usolli sunnataddhuha rok’ataini lillahi ta’ala)

Maksud: Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.

Bacaan Surah Di Dalam Solat
Tiada penetapan khas untuk pembacaan surah bagi solat ini. Namun begitu, pembacaan surah-surah tersebut amatlah digalakkan:

Rakaat Pertama | Surah As-Shams
Rakaat Kedua | Surah Dhuha


Bacaan Surah untuk Solat Dhuha Melebihi 2 Rakaat
Sekiranya anda ingin melakukan lebih daripada 2 rakaat, adalah disarankan untuk membaca Surah As-Shams & Surah Dhuha untuk 2 rakaat pertama, diikuti dengan Surah Al-Kafirun & Surah Al-Ikhlas untuk rakaat-rakaat seterusnya.

Bacaan Lain Di Dalam Solat & Bacaan Ketika Sujud
Bacaan-bacaan lain di dalam solat adalah sama seperti solat biasa. Namun begitu, sewaktu anda melakukan sujud terakhir, setelah selesai membacakan tasbih sujud biasa, sebelum duduk untuk tahiyat akhir, bacalah doa ini sebanyak 40 kali:


(Rumi: Wahabli ya wahhab, ilman wahikmatan warzuqni ya rozzaq, kulli musahhala)

Maksudnya: Berikanlah kepadaku, wahai Tuhan yang maha memberi akan ilmu dan hikmah dan murahanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan yang maha pemberi rezeki. Jadikanlah ia mudah bagiku.

Doa Selepas Solat Sunat Dhuha
Berikut adalah bacaan doa selepas solat dhuha:

Rumi: Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka, walbahaa’a bahaa uka, waljamaala jamaaluka, walquwwata quwatuka, walqudrota qudrotuka wal’ismata ‘ismatuka. Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu, wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu wa’in kaana mu’assiron fayassirhu, wa’in kaana harooman fathohhirhu, wa’inkaana ba’idan faqorribhu, bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita ‘ibaadakassolihiin.

Maksudnya: Ya Allah, bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikan ialah kecantikanMu, keindahan ialah keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu, dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah. Jika ada di dalam bumi, keluarkanlah. Jika sukar, mudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika masih jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan. keindahan, kekuatan, dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Dengar Bacaan Doa Solat Sunat Dhuha


Subscribe to receive free email updates: