'Seperti biasa, masuk bilik nombor 12'
Alhamdulillah, selesai sudah menunaikan kewajipan hari ini. Seperti biasa, di tempat yang biasa. Hari ini memenuhi temujanji 'si kecil Haikal yang istimewa' di unit Audiologi, HTAA. Rutin bulanan membuat ujian pemeriksaan pendengaran anak saya yang seorang ini. Dan rutin itu juga menyebabkan saya perlu mengambil cuti.
Temujanji hari ini berjalan dengan lancar sekali. Sebentar pula rasanya. Tidak seperti biasa yang saya rasa dan alami. Ada juga riak-riak 'keboringan' mahu menunggu ia selesai. Hari ini tidak pula begitu. Tup, tap, tup tap, dah pun selesai. Rasanya tidak sempat panas punggung menunggu.
Seperti biasa sebelum pulang ke rumah, saya dan si Haikal singgah dahulu mengisi perut. Lokasinya, biasalah, kedai makan hujung bangunan, yang berhadapan dengan padang majlis perbandaran. Berhampiran juga dengan masjid negeri. Menunya, ah biasa juga, selera si kecil Haikal, roti telur yang digandingkan dengan milo suam. Saya pun mencicip menu yang sama sebagaimana si Haikal.
Hari ini mendapat perkhabaran daripada juruaudio agar menggantikan acuan telinga yang sudah tidak berapa baik kondisinya. "Acuan telinga tersebut sudah agak keras, maka perlu diganti yang baru," nasihatnya. Maknanya, saya perlu ke kedai tempat membuat alat pendengaran tersebut bersama si Haikal untuk mengambil ukuran sebelah dalam telinganya. Berapa pula kosnya, entahlah. Harap-harap masih di dalam kemampuan saya.
Tetapi kami tidaklah ke sana hari ini. Insya-Allah, mungkin minggu hadapan cadangnya. Lagipun minggu hadapan ada satu lagi temujanji 'si kecil Haikal yang istimewa'. Kali ini di unit oftalmologi pula atau senang faham klinik mata. Kena ambil cuti lagi nampaknya.. Tak apalah.. (senyum)