Cerita korban (lambat lagi)

Sudan, beberapa tahun yang lalu

“Visa untuk Kashmir masih kekal, masih sama harga macam sebelum ni.” 

“Tahun ni kita akan hantar satu kumpulan ke Uganda.” 

Begitulah bunyi pesanan ringkas yang dihantar oleh Pengerusi YAMCP melalui aplikasi whatsapp group. 

Ceritanya berkenaan ibadah korban dan aqiqah bagi tahun ini. Biarpun lambat lagi masanya, tetapi begitulah tindakan prihatin dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh ketua kami itu. Sentiasa mendahului dalam apa jua perkara. Selayaknya bagi seorang pemimpin (senyum) 

Saban tahun YAMCP dan YAM negeri-negeri lain mengendalikan pelaksanaan ibadah korban. YAMCP sendiri sudah pun masuk tahun yang ke 14 pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah bagi tahun 2019. Sepanjang masa tersebut banyak asam garam yang dilalui sebagai pengalaman hidup yang amat berguna. 

Kebanyakan lokasi yang dipilih adalah lokasi minoriti umat Islam yang sangat dhaif di sesebuah negara. Tetapi tidak semua negara yang boleh dilakukan ibadah korban, melainkan negara yang mudah dari sudut birokrasi, termasuk juga tahap keselamatan para sukarelawan. 

Teringat satu peristiwa yang dialami oleh sahabat saya dari YAM negeri lain sewaktu pelaksanaan di sebuah negara benua afrika. Bagaimana dia dan sukarelawan yang lain berdepan dengan detik cemas apabila dirompak di pertengahan jalan. Bukan duit yang dirompak tetapi lembu yang mahu dibawa ke lokasi korban. Mahu tak mahu kenalah menggantikan semula lembu yang telah dilarikan. Pada hari kedua dan seterusnya terpaksalah menggunakan khidmat pihak tentera sebagai 'escort', alhamdulillah.

Bagi YAMCP, lokasi yang amat sinonim ialah di pedalaman Sabah, perkampungan orang asal Semenanjung, Indonesia, Filipina, Bangladesh, Sri Lanka dan India. Insya-Allah, tahun ini bakal mengorak langkah baru iaitu di Uganda, sebagaimana saranan (keputusan) pengerusi kami. Entahlah siapa pula yang akan ditugaskan ke sana. 

Pihak YAM Pusat sendiri amat menggalakkan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah di negara-negara sebelah afrika. Namun, sebilangan negara-negara tersebut, agak 'longgar' tahap keselamatannya selain karenah birokrasi yang agak menguji tahap kesabaran.

Apa pun, setiap yang berlaku dapat dihadapi dengan sebaiknya. Semuanya menjadi dugaan dan pengalaman dalam misi-misi kebajikan dan kemanusiaan yang dilakukan. Kepada Allah jua dipanjatkan doa agar setiap yang dilakukan berjalan dengan lancar. 
  
“Anta nak ke mana tahun ni?” Tanya seorang sahabat.

“Entahlah, belum fikir lagi..”

Kemana ya?

Subscribe to receive free email updates: