'foto hiasan'
Ingatan kembali dipugar. Cebisan-cebisan memoir jaringan zaman silam dibongkar.
Teringat rumah paksu Mat Ali, guru mengaji al-quran semasa saya kanak-kanak di kampung dulu. Kami mengaji selepas waktu maghrib kemudian terus bersambung dengan sembahyang isyak berjemaah yang diimamkan sendiri oleh paksu Mat Ali. Selepas itu barulah sama-sama pulang dengan berteman cahaya andang pelepah kelapa, sebelum berpisah di simpang rumah masing-masing
Apabila musim cuti sekolah, waktu mengaji ditukar kepada waktu siang, iaitu selepas waktu zohor. Kadang-kadang isteri paksu Mat Ali turut membantu mengajar budak-budak mengaji apabila ramai yang datang mengaji.
Tersenyum saya sendirian tatkala mengenangkan sesuatu. Dulu kami terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan yang mengaji 'surat kecik dan satu lagi kumpulan 'surat besar'. Surat kecik merujuk kepada muqaddam (Qaedah Baghdadiyah), manakala al-Quran al-Kareem pula dengan nama 'surat besar'. Kebiasaannya mereka yang membaca surat besar dibenarkan mengajar yang membaca surat kecik.
Lazimnya usai mengaji saya dan rakan-rakan tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya berkejaran memanjat pokok bunga tanjung yang banyak kedapatan di sekeliling rumah guru kami itu. Ada di antara saiznya mencapai sepemeluk orang dewasa.
Selalunya saya akan memanjat sampai ke julai yang teratas. Sambil mengelamun di hujung dahan, tangan galak meretus buahnya yang masak seterusnya menyiat kulitnya yang berwarna oren kekuningan. Ah, tidak terbayang di akal pada masa itu, kerana bernafsu mengulum buah bunga tanjung yang kelat ‘berkesa’. Apalah yang enak pada buahnya itu, tetapi akal kanak-kanak apalah yang hendak dikirakan.
Budak-budak perempuan pula mengutip bunga tanjung yang banyak berserakan di bawah pokok. Sesekali kami menggoncang dahannya untuk menggugurkan bunga tanjung tersebut. Mereka keriangan mengutip bunga tanjung yang gugur berserakan di lantai bumi.
Lalu, bunga-bunga tersebut dicucuk pada benang untuk dijadikan kalung. Sangat menarik. Bukan hanya budak-budak perempuan yang buat begitu, malahan kami pun sama naik. Tanpa rasa segan kami turut sama menyusun bunga tanjung pada benang sehingga menjadi kalungan.
Saya perasan, dulu-dulu tiada langsung rasa segan bermain dengan budak-budak perempuan. Seingat saya semasa di sekolah rendah saya masih bermain dengan budak-budak perempuan. Bermain permainan galah panjang, bola geliga, rounders, getah ‘zerofone’ dan sebagainya. Masa itu, bermain sekadar bermain tanpa apa-apa perasaan yang bukan-bukan. Zaman ini, entahlah..