Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (44)


DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA

Perintah Dakwah Secara Terang-terangan

Wahyu yang pertama turun mengenai hal ini adalah firman Allah SWT:

"Dan berilah peringatan kepada saudara-saudara terdekatmu."  (as-Syu'ara': 214)

Surah as-Syu'ara' pada bahagian awalnya disebutkan tentang kisah Nabi Musa, dari permulaan kenabian hinggalah hijrahnya bersama Bani Israil, lalu selamatnya mereka daripada kejaran Firaun dan kaumnya serta ditenggelamkannya Firaun dan keluarganya. Kisah ini meliputi seluruh tahap yang ditempuhi oleh Nabi Musa ketika mendakwah Firaun dan kaumnya untuk beriman kepada Allah SWT.

Saya (pengarang) melihat bahawa ditampilkan perincian dakwah Nabi Musa ketika Rasulullah saw mendapat perintah untuk mendakwah kaumnya agar beriman kepada Allah adalah supaya Nabi dan para sahabat mempunyai contoh yang boleh dijadikan panduan. Sama seperti Musa, mereka juga akan berhadapan dengan pendustaan, tekanan dan penolakan ketika mereka menyampaikan dakwah secara terang-terangan. Juga, agar mereka memahami dengan jelas urusan dakwah yang diamanahkan kepada mereka.

Dalam ayat-ayatnya yang lain, surah ini menceritakan tentang tempat kembali orang yang mendustakan para rasul, iaitu kaum Nabi Nuh, kaum Ad, kaum Tsamud, kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Luth dan Ashabul Aikah, meskipun secara keseluruhan isinya lebih dititikberatkan kepada Firaun dan kaumnya.

Itu semua adalah supaya orang yang mendustakan Nabi Muhammad tahu bahawa mereka sama sahaja dengan kaum-kaum yang ingkar dahulu dan bahawa jika mereka masih sahaja berada dalam pendustaan dan pengingkaran, maka pun perlu bersedia menerima azab Allah. Sebaliknya, agar orang beriman tahu bahawa kesudahan yang baik berada di pihak mereka, bukan di pihak yang mendustakan. 

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

Subscribe to receive free email updates: