Khasiat & Kegunaan Pokok Bunga Kantan


Ramai yang tahu dan kenal akan bunga Kantan, tetapi tak ramai yang pasti akan rupa pokok bunga Kantan ini. Aha .. kalau kat kampung, ia mungkin mudah untuk anda cari, tetapi kat bandar mungkin agak sukar, melainkan pihak majlis atau bandaran ada menanam pokok bunga Kantan ini sebagai tanaman landskap.

Bunga Kantan berwarna merah muda, umum diketahui banyak digunakan dalam masakan beberapa menu popular di Malaysia iaitu Laksa, Asam Pedas, Tomyam dan juga Nasi Kerabu. Malah, ada yang menggunakannya sebagai gubahan hiasan dek kerana bunga Kantan mempunyai kelopak yang cantik ketika bunganya mekar.

Khasiat dan Kegunaan Pokok Bunga Kantan

Bunga Kantan juga dikenali sebagai bunga siantan. Ia merupakan sejenis pokok saka herba. Pokoknya menegak dengan batang hijau yang lurus. Daunnya tirus dan panjang seperti daun pokok Lengkuas. Saya kerap tersilap mengenal pokok bunga Kantan ini dengan pokok Lengkuas. Serius ianya sangat serupa.

Ia mempunyai bunga yang cantik dan berbau kuat. Ada tiga jenis bunga Kantan yang terdapat di Malaysia iaitu yang berwarna putih, merah jambu dan merah. Bunga Kantan yang berwarna merah sering menjadi pilihan ramai terutama untuk seni gubahan kerana warnanya yang lebih menarik. Bunga Kantan berwarna putih dan merah jambu pula sering dijadikan bahan dalam masakan.

Tumbuhan herba ini mengandungi banyak bahan antioksida yang amat baik untuk kesihatan. Hampir keseluruhan bahagian pada pokok bunga Kantan mempunyai khasiat serta manfaat yang bagus untuk tubuh manusia.

Meh saya kongsikan beberapa khasiat kegunaan pokok bunga Kantan ini untuk pengetahuan anda ye …. huhu .. jangan ingat bunga atau tunasnya sahaja ada gunanya.

Batang Pokok Bunga Kantan

Dipercayai dan diamalkan oleh orang-orang lama untuk mengubati penya kit bengkak-bengkak pada tubuh badan. Tetapi yang paling dan sering diamalkan ialah untuk hilangkan bau badan, terutama untuk wanita baru lepas bersalin.

Anda hanya perlu potong pendek-pendek batang pokok bunga Kantan ini, tumbuk sehingga hampir lumat dan didihkannya. Ambil air tersebut dijadikan mandian. Errr jangan pula masa tengah panas-panas tu, anda terus siramkan badan .. biarkanlah ia sejuk sedikit.

Isteri saya sendiri menggunakan pokok bunga Kantan ini ketika dalam pantang bersalin, dijadikan bahan untuk mandian setiap pagi bersama pokok-pokok herba yang lain.

Buah Pokok Bunga Kantan

Ia boleh memberikan kesan untuk menambah selera makan, mengurangkan rasa kurang bermaya dan sebagai penawar bagi menghilangkan lendir dan kahak pada tekak. Anda perlu tumbuk buah atau bijinya sehingga lumat sehingga keluar air. Toskan biji tersebut untuk asingkan hampas biji dengan airnya. Ambil air ini, campurkan dengan segelas air suam, minumlah setiap pagi dan malam.

Ada juga yang mendakwa buah pokok Bunga Kantan dapat membantu dalam menguatkan tenaga ba tin lela ki… huhu. Sejauh mana kebenarannya, tidaklah dapat dipastikan.

Daun Pokok Bunga Kantan

Jika anda merebus daunnya, air rebusan ini boleh dijadikan sebagai bahan untuk mencuci luka di badan. Gunakan air rebusan daun pokok bunga Kantan ketika suam. Hanya lumurkan sahaja pada tempat atau bahagian luka tersebut.

Bunga Kantan

Bunga Kantan baik yang berwarna putih, merah jambu mahupun merah memang sesuai dan sering dijadikan bahan aroma dalam masakan. Ia bukan sahaja dapat meningkatkan rasa dan bau, tetapi ada khasiatnya tersendiri.

Bunga ini boleh sahaja dimakan terus atau direbus dijadikan sebagai ulam-ulaman. Ramai yang berkata, dengan memakan bunga Kantan ini .. ia boleh memberikan kesan awet muda kepada yang mengamalkannya.

Ia juga didakwa boleh membantu dalam rawatan penya kit seperti kencing manis dan darah tinggi, dengan meminum air rebusan bunga Kantan. Pun begitu, ia perlu diambil dalam sukatan yang betul kerana khuatir ada kesan sampingan seandainya mengambil air rebusan bunga Kantan secara berlebihan.


Sekarang anda dah tahu beberapa kelebihan dan khasiat serta kegunaan pokok bunga Kantan ini. Alhamdulillah, dah dapat banyak ilmu tambahan mengenai pokok yang sangat mudah ditanam ini. Anda boleh gunakan batangnya untuk menanam di halaman rumah, hanya cucuk terus ke dalam tanah. Atau paling baik, ambil ubinya dan tanam seperti anda menanam pokok Lengkuas, Halia atau Kunyit.

Pokok bunga Kantan hidup subur di kawasan berair dan lembap. Menariknya mengenai pokok ini, ia seperti tiada musuh kerana serangga terutamanya tidak berminat untuk menye rang pokok ini kerana aroma yang terdapat padanya.

Untuk pengetahuan anda, setiap rumpun pokok bunga kantan mampu menghasilkan antara tiga hingga tujuh kuntum bunga bergantung kepada kesuburan dan saiz perdu pokok. Ia berbunga sepanjang tahun, namun ada beberapa bulan tertentu (dalam tempoh agak panjang), bunganya berkurangan.

Di pasar, harga bunga Kantan boleh mencecah sehingga RM1 sebatang … terutama di musim-musim perayaan seperti Hari Raya kerana permintaan yang tinggi. Jadi, nak jimat … boleh je anda tanam pokok bunga Kantan ini di rumah.

Subscribe to receive free email updates: