Bagaikan panjang malam yang dilewati, manakala masa seakan lambat bergerak. Sedetik demi sedetik putaran jarum jam terasa sangat melelahkan. Mahu mencoret sesuatu, ilham pula bagai terbang menerawang ke mana-mana, tanpa mahu singgah di ranting fikiran.
Suhu dingin dengan angin semilir dari jendela yang terbuka menampar pipi. Ada bekas di ruang mata yang mengundang sedikit sebak menjentik tangkai hati. Justeru, sambil melayan perasaan, saya membelek foto-foto anak-anak Palestin banyak kedapatan di dalam komputer riba. Moga terubat
2018 telah melambai pergi meninggalkan denai kenangan yang berbekas. 2019 pula menggamit merangkul penuh erat. Hari-hari yang mendatang, entah bagaimana corak dan lakarannya. Pastinya kita semua mahukan hari yang mendatang itu terisi dengan yang manis-manis sahaja. Tidak terkecuali saya, jua mengharapkan demikian.
Tidak mudah menghadapi hari-hari berkunjung tiba. Berat ujian yang dihadapi di tahun baru ini. Silih berganti bergentanyangan memagut sekeliling. Adakalanya seakan mahu rebah dengan asakan yang bertali arus. Hanya kekuatan dari-Nya yang menjadi 'balsam' buat terus mengatur langkah. Kekuatan yang diperolehi dari yang Maha Kuat. Meminjam kekuatan dengan bergantung kepada-Nya.
Ujian tidak pernah dipinta. Namun ujian adalah rukun dalam kehidupan. Maknanya setiap daripada kita akan melalui bicara atau didikan Allah yang dinamakan ujian. Ya, setiap insan pasti diuji. Tidak kira siapa, hatta para Rasul dan anbiyak pun turut diuji, malahan merekalah yang paling berat menerima ujian berbanding manusia lain. Jika mereka yang maksum pun diuji, apalah mahu dibandingkan kita semua yang sentiasa mengisi masa dengan kelalaian dan kelekaan.
Kita adalah hamba. Sifat hamba adalah lemah dan tidak memiliki. Kehidupan kita semuanya ditentukan menurut kehendak Tuan yang memiliki. Kita amat mengharap belas dan kasihan Allah SWT. Justeru, apa yang dapat kita lakukan adalah berdoa selain dari berusaha. Kerana Allah jua yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Daripada Shuhaib ra berkata, Rasulullah saw bersabda: “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)