WANITA melahirkan tuannya, tanah Arab bertukar subur, maksiat bermaharajalela dan ramai ulama mnnggal dunia.
Jika 1,400 tahun lalu, semua yang dinyatakan ini mungkin dianggap mustahil dalam kalangan masyarakat pada masa itu.
Namun, perubahan semasa menyaksikan sebaliknya. Bukan hanya khusus berlaku di negara tertentu sahaja, tetapi pelbagai peristiwa yang jelas bertentangan dengan norma kehidupan manusia dan dikategorikan pelik dilaporkan berlaku satu persatu di seluruh dunia.
Bermula pada peringkat individu dengan keruntuhan jati diri dan sosial, perbuatan jenayah juga terus berleluasa ke peringkat global sehinggakan nyawa manusia dianggap tidak lagi berharga. Peperangan demi peperangan, penindasan terus berlaku tanpa belas kasihan.
Sedari atau tidak, inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW berhubung tanda-tanda umur dunia semakin hampir tamat atau berlakunya kiamat.
Lebih mengejutkan apabila baru-baru ini, kota suci ketiga umat Islam Baitulmuqaddis, Palestin sekali lagi ingin ditawan oleh golongan penentang Islam.
Ibarat memekakkan telinga, walaupun kecaman demi kecaman dilakukan masyarakat seluruh dunia berikutan pengumuman mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, namun keputusan masih tidak berganjak.
Malah, keputusan dua pertiga negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyokong resolusi menolak langkah kontroversi tersebut dan mahu status kota suci itu diselesaikan melalui rundingan, juga tiada maklum balas.
Mengulas kemelut yang berlaku, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor tidak menolak pandangan bahawa pencabulan di Baitulmuqaddis, Palestin itu dilihat sebagai melengkapkan tanda-tanda peristiwa akhir zaman.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh mengaitkan secara terus usaha penaklukan Baitulmuqaddis ini dengan akhir zaman. Ini kerana pembukaan Baitulmuqaddis telah dua kali berlaku. Pertamanya pada zaman Sayidina Umar al-Khatab r.a. dan kedua pada pemerintahan Khalifah Salahuddin al-Ayubi. Bagaimana dengan petanda ini? “Namun, jika diperhatikan, pada masa ini telah banyak tanda besar lain telah berlaku. Malah, secara realitinya kita perlu sedar bahawa telah pun berada pada akhir zaman yang dikenali juga sebagai zaman fitnah,” kata Mohd. Roslan ketika ditemui Mega Mimbar, baru-baru ini.
Tanda lain kiamat
Mohd. Roslan berkata, antara tanda lain yang jelas berlaku sebagaimana dinyatakan oleh hadis Rasulullah juga adalah peperangan dan pergolakan di Syria sehingga mengakibatkan ratusan ribu penduduk awam terkorban.
Tambah beliau, diikuti kemelut dalam keluarga diraja Arab Saudi sehingga berlaku pergelutan dan penindasan sesama sendiri.
Perkara ini turut digambarkan oleh Rasulullah berhubung tanda kiamat menerusi sabda baginda maksudnya: “Akan berperang tiga orang di sisi perbendaharaanmu. Mereka semua adalah putera khalifah. Tetapi, tak seorang pun antara mereka yang berhasil menguasainya. Kemudian muncul bendera-bendera hitam dari arah Timur, lantas mereka memerangi kamu (orang Arab) dengan suatu peperangan yang belum pernah dialami kaum sebelummu.” – Riwayat Ibnu Majah
“Jika kita perhatikan semula, kemelut dalam keluarga diraja Saudi sudah lama berlaku, tetapi boleh kita simpulkan kini berada pada kemuncaknya.
“Ini kerana sejarah menunjukkan Raja Saudi, Raja Abdulaziz Al-Saud mempunyai ramai anak dan setiap anaknya perlu mewarisi takhta menjadi raja bermula anak pertama hinggalah yang terakhir. Raja sekarang ini iaitu Raja Salman adalah pewaris takhta terakhir, justeru siapa yang bakal mewarisi takhta selepas itu?” katanya.
Sampai masa untuk berubah
Sehubungan itu, kata Mohd. Roslan, sudah tiba masa umat Islam untuk merenung kembali segala peristiwa yang berlaku agar memberi keinsafan untuk kembali ke pangkal jalan.
Formulanya adalah dengan menjadikan al-Quran dan sunah sebagai petunjuk serta pedoman utama.
“Selain hadis Rasulullah, peristiwa akhir zaman juga dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran, antaranya dalam Surah al-Israk ayat 1 hingga 8. Dalam ayat ini Allah menceritakan sifat golongan Yahudi yang suka membuat kerosakan di muka bumi dengan kerosakan amat teruk sebanyak dua kali. Ulama mentafsirkan tempat kerosakan itu adalah di Baitulmuqaddis, Palestin.
“Sebahagian ulama menyatakan kedua-dua kerosakan itu telah berlaku berdasarkan kisah pembebasan Baitulmuqaddis oleh Sayidina Umar al-Khatab dan kedua pada pemerintahan Khalifah Salahuddin al-Ayubi. Manakala sebahagian lain mendakwa baru berlaku kerosakan pertama.
“Mereka mengaitkan kerosakan kedua adalah pada zaman ini kerana berdasarkan firman Allah itu, golongan Yahudi akan masuk dengan kekuatan dan kesombongan. Ini berkemungkinan berlaku zaman ini,” jelasnya.
Umat Islam juga katanya, perlu tetap pendirian mempertahan kota suci ketiga umat Islam tersebut walau apa yang berlaku daripada penaklukan golongan kafir dan Zionis.
“Di samping melihat penyelesaian melalui pandangan politik, kita juga perlu melihat kepada pandangan agama. Selain perlu dipertahan kerana tanah suci Islam, kita juga tahu bahawa di bumi Palestin ini juga ditafsirkan ulama menjadi tempat perhimpunan manusia di akhirat atau Padang Mahsyar.
“Justeru, umat Islam dinasihatkan agar tidak lari dalam isu ini bagi pertahan Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa, ini kerana tanah kenabian itu merupakan hak bukan sahaja orang Palestin tapi bagi umat Islam.
“Malah, sebahagian tanah di Baitulmuqaddis diwakafkan oleh seorang ulama Islam terdahulu, Tamim ad-Dari yang merupakan perjanjian wakaf pertama tercatat secara dokumen dalam sejarah Islam,” jelasnya.
Sumber: Utusan