Susulan kejadian gempa bumi di Lombok Utara, kami (YAMCP) memutuskan untuk melaksanakan ibadah korban dan aqiqah di sana. Persetujuan ahli mesyuarat dicapai, lalu kami namakan program ini dengan "Misi Korban dan Aqiqah Lombok: Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi."
Jika diikutkan pelaksanaan korban di Lombok tiada dalam senarai pada tahun ini. Namun, atas rasa prihatin dengan apa yang telah berlaku, pihak YAMCP merasa terpanggil untuk melaksnakan misi ini. Ia adalah perkara biasa apabila beberapa lokasi dimasukkan di saat-saat akhir. Semuanya mengikut keperluan semasa. Pada tahun lalu Marawi Mindanao dimasukkan pada saat-saat akhir. Begitu juga tahun-tahun sebelumnya.
Beberapa ekor lembu dan kambing akan dihantar ke sana untuk tujuan ini. Jumlah sebenar belum muktamad lagi. Mungkin sehari dua ini akan beroleh jumlah sebenar setelah pengiraan kos selesai. Oh ya, maksud "menghantar" ialah membawa wang bagi membeli haiwan korban di sana, bukannya membawa haiwan dari sini.
Wakil kami di sana akan menempah terlebih dahulu dan kami akan membayar harganya sejurus tiba kemudian. Lagipun harga haiwan korban di sana lebih murah termasuk juga di lokasi-lokasi lain yang kami laksanakan ibadah korban dan aqiqah ini. Di Malaysia sahaja yang agak mahal, entahlah.
Insya-Allah, sehari sebelum 'eidul adha wakil YAMCP akan berangkat ke sana. Turut bersama beberapa wakil daripada Yayasan Amal Malaysia (Pusat) yang akan mengetuai misi ini. Mudah-mudahan misi ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan. Allahu al-Musta`an.