Di antara momen terindah dan mengasyikkan ialah tatkala menyelongkar album foto-foto lama. Saat membelek dari selembar ke selembar menghadiahkan kemanisan dan kenyamanan. Manisnya momen itu tidak mampu digambarkan dengan bual bicara melainkan detaknya pada deria rasa.
Setiap foto yang terselit kemas di dada album ada nostalgia dan kisahnya yang tersendiri. Berbicara dan bercerita tanpa suara tentang zamannya (zaman yang telah jauh ditinggalkan). Biarpun telah kemerahan dan kabur rona fotonya, namun kenangannya masih segar di ruangan mata, sehingga bisa meramas jari-jari kerinduan.
Selembar demi selembar helaian album tua diselak. Membongkar kembali memoir silam dengan menatap wajah-wajah insan yang tertancap padanya. Tersenyum sendirian kerana ada di antaranya terselit kisah kelucuan. Kemudian ada pula getaran sebak dan kesedihan apabila jiwa tiba-tiba dipagut. Ah, kesedihan kerana ada di antara mereka yang telah ‘pergi’ meninggalkan kehidupan di dunia. Pergi yang tidak akan kembali, selama-lamanya.
Aku selak lagi lembaran album tua dan apa yang aku lihat. Sekeping foto yang tertera susunan aksara 'Foto 84' di tepinya. Bola mataku merayap-rayap dan entah mengapa begitu lekap. Mesra lagi akrab pada foto nan 'bernilai' ini. Rupa-rupanya ia sekeping foto yang telah dipotretkan pada malam aidilfitri tahun 1984.
Sesusuk tubuh bonda sedang mengurusi tapai pulut yang sudah masak. Sebentar lagi mereka yang membuat tempahan akan datang mengambilnya. Bonda mengasingkan siap-siap agar mudah diagihkan nanti. Begitulah rutin bonda setiap kali Syawal menjelang. Ada sahaja orang kampung yang menempah tapai pulut hasil air tangan bonda.
Ekoran terlalu banyak tempahan, kami adik-beradik turut menjadi ‘mangsa’ kerahan. Kakak-kakak membantu menyediakan pulut serta membungkusnya. Manakala aku dan abang mengambil tugasan mencari daun getah yang banyak kedapatan di pinggir kampung. Jika daun getah tidak mencukupi, ada alternatif lainnya. Kami memetik pula daun jambu laut yang hidup subur di sepanjang pantai kampung kami.
Apabila kutatap kembali foto ini, hatiku berdetak, ah sudah 34 tahun usiamu.
Demikian, dalam dingin lembut angin sore penghujung bulan Syawal, aku mulai berkhayal-khayal dan mengelamun. Memunggah kembali bongkah-bongkah memoir yang masih terlekat di kotak minda. Dalam lamun dan khayalku pada dekad-dekad silam bagaikan meneroka menembusi terowong masa.
Dingin angin lembut di luar masih setia berhembus. Aku pula masih enak menekuri lembaran album tua ini.
#Moga Allah cucuri rahmat buat bondaku..