Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (37)


foto hiasan ~ sumber

Maksud Dakwah Yang Tersirat

Ayat-ayat tersebut (Al-Muddaththir: 1-7) juga mengandungi perintah dakwah dan tabligh. Memberi peringatan sangat perlu kerana terdapat tindakan yang memberi kesan kepada pelakunya. Semua manusia tahu bahawa dunia tidak mungkin membalas semua perbuatan manusia. Maka, peringatan perlu diberikan mengenai terdapat hari khusus untuk membalas semua amal perbuatan manusia dan adanya kehidupan lain di luar kehidupan yang sedang kita jalani di dunia ini iaitu hari akhirat.

Keseluruhan ayat menuntut semua manusia untuk mentauhidkan Allah secara tegas, menyerahkan sepenuhnya segala urusan hanya kepada-Nya, meninggalkan keinginan untuk menyenangkan diri sendiri mahupun orang lain, lalu memurnikan amal semata-mata untuk meraih redha Allah SWT.

Ringkasnya, matlamat dakwah yang terkandung dalam keseluruhan ayat adalah:

1. Tauhid.

2. Iman kepada hari akhirat.

3. Penyucian jiwa, iaitu dengan menjauhi segala kemungkaran dan perbuatan keji yang boleh menjerumuskan manusia ke dalam keburukan, kemudian berusaha bersungguh-sungguh untuk menggapai keluhuran diri dan mengerjakan amal kebaikan.

4. Menyerahkan sepenuhnya segala urusan kepada Allah SWT.

5. Semua itu dapat terlaksana setelah mengimani risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad serta mengikuti kepimpinannya yang agung dan menuruti arahan-arahannya.

Permulaan ayatnya mengandungi seruan yang amat agung (dengan suara yang besar dan meninggi) dalam melimpahkan sebuah mandat kepada nabi, iaitu, "Hai orang yang berselimut! Bangunlah dan berilah peringatan." Seakan-akan Allah mengatakan kepada nabi, "Sesungguhnya orang yang hidup untuk dirinya sendiri selalu menikmati hidup dengan bersantai. Sedangkan kamu, adalah orang yang memikul tanggungjawab yang besar ini. Maka mengapa kamu tidur? Mengapa kamu bersantai? Mengapa kamu menikmati segala kesenangan yang melenakan? Banguklah untuk menyambut urusan agung yang telah menantimu dan tanggungjawab berat yang telah disiapkan untukmu.

Bangkitlah untuk berjuang dan berkorban, bekerja keras dan menempun letih. Berdirilah! Waktu tidur dan istirehat telah habis. Hari-hari di hadapan adalah terus berjaga dengan mata terbuka, juga jihad panjang yang penuh kepenatan. Ayuh, bangunlah, persiapkan dirimu untuk memikul urusan ini."
 
(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung..

Subscribe to receive free email updates: