Alhamdulillah thumma innal hamdalillah, puji-pujian hanyalah milik Allah SWT. Marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan penuh kerendahan dan perhambaan kerana dengan rahmat-Nya, kita masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk sama-sama memasuki gerbang Ramadhan al-Mubarak ini.
Pastinya, tanpa belas kasihan dan keizinan Allah SWT kita tidak akan dapat mengecapi nikmat ini. Justeru, tatkala diberikan sekali lagi peluang untuk memasuki bulan Ramadhan yang mulia ini, gunakanlah untuk menambah amal kebaikan sebanyaknya. Jangan sekali-kali menjadi golongan yang disebutkan oleh Rasulullah saw, iaitu golongan yang rugi dengan kedatangan Ramadhan. Itulah golongan yang tidak mendapat keampunan-Nya setelah berlalunya Ramadhan.
Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah ra. katanya: Rasulullah saw bersabda: “ Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar.” Maka kami pun berhimpun. Lalu baginda menaiki anak tangga mimbar, baginda berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, baginda berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, baginda berkata lagi: Amin. Dan ketika baginda turun (dari mimbar) kami pun bertanya: “ Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.” Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail as. telah membisikkan doa kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya. (Riwayat al-Hakim dan sanadnya sahih)
Keampunan daripada Allah SWT adalah impian dan harapan setiap hamba. Keampunan inilah yang akan memberikan nilai dan harga diri kita di sisi Allah SWT. Tiada kemuliaan dan kegembiraan bagi seseorang hamba Allah SWT melainkan dirinya diampunkan segala-gala kesilapan, kesalahan dan dosa-dosanya yang menggunung.
"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (ali-Imran: 133)
Di kesempatan ini saya menghamparkan sepuluh jari mengucapkan Salam Ramadhan al-Mubarak 1439H kepada semua sahabat khususnya pengunjung 'pondok kecil abuikhwan'. Marilah kita semua berdoa agar diberikan kekuatan untuk melakukan segala ketaatan yang ganjaran pahalanya berlipatkali ganda, serta diterima amalan tersebut oleh Allah SWT. Ameenn ya Rabb..