Pilihanraya umum ke 14 telah pun berakhir. Siapakah yang menjadi pemenang dan melangkah ke Putrajaya telah pun kita ketahui. Siapa yang belum menang juga kita ketahui. Sebenarnya keputusan pilihanraya telah pun ada sebelum berlaku pilihanraya. Keputusannya telah pun ada sejak di azali lagi.
Malahan keputusan pilihanraya umum ke 15 (jika belum kiamat) juga telah pun ada tersimpan di sisi Allah SWT. Setiap orang cuma boleh bekerja dan berusaha untuk memenangkan parti masing-masing. Maka, di atas kerja keras tersebut menjadi asbab kemenangan masing-masing.
Opss, saya bukan mahu menganalisis apa yang berlaku dalam pilihanraya umum tempohari. Tak apalah, kita lupakan cerita mengundi. Serahkan kepada mereka yang berkenaan untuk menunaikan manifesto yang telah dilancarkan. Justeru, selamat bertugas kepada rakyat duhai Yang Berhormat.
Gerbang Ramadhan
Beberapa hari lagi kita semua akan melangkah memasuki gerbang Ramadhan yang dirindui. Bahang kehangatannya kian terasa. Para pencinta ibadah pasti tidak sabar untuk menyambut dan meraikannya. Ramadhan terkandung di dalamnya rahmat, keberkatan, kebajikan, kesuburan dan keredhaan-Nya.
Allah SWT, Tuhan kita yang penuh dengan belas kasihan. Dia mempelbagaikan ibadah buat kita agar kita merasa seronok, gembira, tidak jemu. Bukan hanya solat sebagai ibadah, malahan berjalan ke masjid, menyantuni anak yatim, melayani si faqir, menyendiri di keheningan malam, menghulur sedikit lebihan buat si peminta. Begitu juga berlapar dan menahan diri daripada kebiaasaan juga adalah ibadah. Lihat, berlapar juga satu ibadah. Subhanallah!
Berpuasa natijahnya adalah untuk membuahkan taqwa, sebagaimana firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana ia telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu beroleh taqwa." (al-Baqarah: 183)
Demikianlah, kasihnya Allah SWT kepada kita semua. Dalam setahun diperuntukkan selama sebulan untuk kita menyuburkan bekalan taqwa. Bekalan untuk kesejahteraan kehidupan. Justeru, Ramadhan yang bertandang adalah peluang untuk menghasilkan taqwa perlulah dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Bersama kita menyambut Ramadhan dengan penuh rasa syukur dan keazaman yang setingginya untuk beribadah di dalamnya. Allahu al-Musta`an.