'menunggu giliran, cuma kami'
Alhamdulillah, selesai sudah temujanji hari ini.
Seawal jam 7 pagi saya memulas pemecut motosikal menuju ke HTAA. Si kecil Haikal yang istimewa membonceng di belakang memeluk erat. Cuaca cerah mengiringi perjalanan kami. Insya-Allah, tak hujan hari ini. Lagipun sekarang ini telah pun di luar musim hujan. Jika hari hujan terpaksalah membawa kereta. Satu perkara yang saya tidak minati apabila memenuhi temujanji di HTAA.
Bukannya apa susah benar mahu mencari ruang 'parking'. Sekiranya 'parking kokse-kokdang', tak pasal-pasal disaman oleh pak polisi trafik atau penguatkuasa majlis perbandaran. Ekoran itu saya lebih suka bermotosikal sahaja. Tetapi jika hari hujan, terpaksa juga membawa kereta, apa boleh buat.
Oh ya, hari ini temujanji si kecil Haikal di unit Paediatric. Sengaja saya merancang untuk meluar awal kerana sudah faham ragam dan resam di unit tersebut. Jika datang lewat alamat 'berjanggutlah' menunggu angka giliran dipanggil. Sementelah lagi di bulan Ramadhan, pasti penantian tersebut menjadi satu penyeksaan. Cewahh..
Berkat pengorbanan keluar awal membelah kedinginan pagi, tampak berbaloi. Rupa-rupanya kami adalah orang pertama yang meletak buku temujanji di dalam kotak yang disediakan. Harap-harap semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan. Manalah tahu jika fail rawatan tidak ditemui atau berada di unit lain, atau boleh jadi juga doktor pakar lewat datang ke sini kerana perlu menyelesaikan kes di wad. Semua itu boleh menjadi faktor penyumbang "menunggu lama".
Sewaktu menunggu angka giliran dipanggil, si kecil Haikal menyuakan tangan ke perutnya. Ooo.. maknanya lapar. Memang keluar dari rumah tadi, dia tidak sempat menjamah makanan. Lagipun sudah menjadi kebiasaan saya membawa dia makan seusai temujanji. Kami akan singgah di restoran berhadapan masjid negeri. Menu kegemarannya semestinya roti telur diganding dengan milo susu.
Masalah pula, bagaimana saya mahu memahamkan si kecil Haikal bahawa sekarang ini bulan Ramadhan. Pada bulan ini umat Islam menjalani ibadah puasa, yakni tidak makan dan minum di siang hari. Anak ini tidak mendengar walaupun memiliki sepasang telinga, malahan tiada juga perkataan biarpun mempunyai mulut seperti orang lain.
Akhirnya, sebelum pulang ke rumah saya singgah juga di kedai makan tersebut. Alhamdulillah, 'si kecil Haikal yang istimewa' mengangguk-angguk apabila saya tunjukkan pintu kedai makan tertutup rapat. Insya-Allah, dia faham.