Jangan jadi 'fool'


"April fool......! Haa..ha..ha." 

Diselangi dengan hilai ketawa. Puas hati dapat mengenakan orang lain.

Demikianlah sesuatu yang biasa dengan kedatangan 1 April.

Teringat semasa di sekolah rendah dahulu, pernah seorang cikgu berkata: "April fool ni hari untuk kita mengenakan orang lain, dan orang yang dikenakan itu tidak boleh marah. Tetapi sampai pukul 12 tengahari sahaja, selepas pada itu dah tak boleh April fool dah."

Mendengarkan tersebut, kami apa lagi, mula 'mendajalkan' rakan-rakan. Ada yang tampal kertas di belakang, ada yang ikat tali di belakang seluar, ada yang menyorokkan barang milik rakan dan macam-macam lagi. Semuanya atas gurauan April fool. Nak marah tak boleh sebab, April fool!

Sehinggalah naik ke peringkat  menengah. Mengaji di sekolah agama, barulah mengerti sedikit demi sedikit April fool itu apa. Oh, April fool tu, begini..begini.. dan begini (Bicara santai: April fool memang fool). Berasa insaf, akhirnya April fool terus dilupakan dalam kotak minda.  

Berguraulah, tetapi..

Manusia adalah makhluk sosial yang memerlukan interaksi dan komunikasi. Manusia memiliki perasaan, naluri dan emosi. Manusia bukan seperti robot yang tiada perasaan sedih, gembira, gementar, teruja dan sebagainya.   

Islam bukanlah satu agama yang jumud yang memaksa umatnya sentiasa serius 24 jam. Tidak begitu. Islam membenarkan umatnya bergurau-senda dan berlucu-lucu, kerana dengan bergurau hubungan akan bertambah mesra. Namun, gurauan mestilah  dalam perkara kebenaran dan tidak melampau-lampau sehingga ada yang berkecil hati.

Rasulullah saw sendiri ada masa-masanya bergurau dengan para sahabat. Namun, gurauan Rasulullah tidak ada unsur penipuan dan keterlaluan. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau bergurau dengan kami?" Maka Rasulullah saw menjawab dengan sabdanya, "Tetapi aku tidak berkata-kata kecuali yang benar." (Riwayat at-Tirmidzi)

Di antara gurauan Rasulullah saw, satu ketika, Rasulullah saw dan para sahabat sedang makan buah kurma, biji-bijinya mereka sisihkan di tempatnya masing-masing. Beberapa saat kemudian, Ali menyedari bahawa dia memakan terlalu banyak kurma. Biji-biji kurma sisa mereka berkumpul lebih banyak di sisi Ali dibandingkan di sisi Rasulullah saw

Maka Ali pun secara diam- diam memindahkan biji-biji kurma tersebut ke sisi Rasulullah. Kemudian Ali ra dengan tersipu-sipu mengatakan, “Wahai Nabi, engkau memakan kurma lebih banyak daripada aku. Lihatlah biji-biji kurma yang berkumpul di tempatmu.”

Nabi pun tersenyum dan menjawab, “Ali, kamulah yang memakan lebih banyak kurma. Aku memakan kurma dan masih menyisakan biji-bijinya. Sedangkan engkau, memakan kurma berikut biji-bijinya.” (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, berguraulah. Namun, berpadalah dalam bergurau. Semaklah sirah junjungan mulia bagaimana gurauan baginda dengan para sahabat. Mudah-mudahan dengan gurauan tersebut akan memutikkan lagi kemesraan dan kebahagiaan. 

Ingatlah, ‘April Fool’ hanyalah sambutan untuk mereka yang ‘fool’ sahaja. Jadi janganlah kita meng’fool’kan diri kita, walaupun pada sangkaan kita telah meng’fool’kan orang lain. Tepuk dada tanya iman. Wallahua`lam.

Subscribe to receive free email updates: