Ya Allah - Aku Insafi Diriku


Tidak ada yang lebih membahagiakan diri seseorang muslim/muslimah, apabila mula sedar dari kesalahan lampau yang pernah menghantui fikiran dan dirinya. Kemudian membuat koreksi dan mengislah diri ke arah yang lebih baik dan menemui jalan keluar, iaitu kembali untuk bertemu dengan Allah selaku Pencipta Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui.

Buku "Ya Allah - Aku Insafi Diriku" bagai satu catatan hidup  seorang muslimah yang pernah melalui hidup-hidup sukar, yang mengisahkan perjalanan hidup segenap makhluk bernama manusia, iaitu sejak dari mula lahir mereka ke dunia ini. Masing-masing telah diperdengarkan laungan azan dan iqamat di telinga kanan dan kiri, iaitu laungan lafaz pertama yang diperdengarkan sebagai tanda umat Nabi Muhammad saw yang memperjuang dan menyebarkan syiar agama Islam.

Ketika itu, manusia yang masih bayi diibaratkan sebagai kain putih yang suci dan belum diwarnakan. Apabila usia semakin meninjak ke alam akil baligh, remaja, dewasa dan tua, mereka mula mencorakkan warna di atasnya, ketika itu, menjadi tanggungjawab untuk memilih warna, corak dan lakarannya. Ada ketikanya, manusia tersilap dengan berbagai-bagai warna yang menarik, corak dan bentuknya, samada mereka sedar ataupun tidak, ia akan menghiasi kain putih yang asalnya putih lagi bersih.

Buku ini sebenarnya mengajak kita semua agar menginsafi diri dan membersihkan segala kotoran rohani dan jasmani yang kita lakukan agar keharuman dan keindahan Islam akan sentiasa mewangi, mekar dan subur di hati, sehinggalah Allah menjemput kita untuk menemui-Nya dalam keadaan yang sedemikian.

Firman Allah SWT menerusi ayat 88-89 surah as-Syuara' yang bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali (harta benda dan anak pinak) orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)."

Tajuk: Ya Allah - Aku Insafi Diriku
Penulis: Normarini Yaacob
Penerbit: Best Seller Publication
Pengedar: Al-Jundi Books Market
Muka surat: 100
Harga: SM 11.90 / SS 14.90

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"

Subscribe to receive free email updates: