Celoteh pagi-pagi..


Rutin harianku, berpagi-pagi menghantar anakanda Haikal ke sekolah. Di pintu pagar sekolah dia mencium tanganku dan aku mengucup dahinya sebagai balasan. Kemudian dengan langkah perlahan dia menapak di kaki lima yang menganjur langsung menuju ke kelasnya. Laluan itu memang dikhaskan untuk  pelajar-pelajar istimewa sepertinya. Sebelum ini aku menghantar sehingga ke pintu kelas, kemudian kujarakkan sedikit demi sedikit agar dia berdikari dan biasa pergi dan balik ke kelas tanpa aku menemaninya.

Tatkala kelibatnya hilang di pandangan, aku segera memacu kuda beroda dua ini untuk pulang ke rumah. Tetapi sebelum itu aku bersalaman dahulu dengan pengawal keselamatan yang berdiri mengawal lalu-lintas di pagar tersebut. Dia tinggal satu taman denganku. Ah, jalanraya masih seperti tadi kondisinya, sibuk! Sesampai di rumah sempatlah berehat sebentar sebelum bersiap-siap ke tempat kerja. 

Tugas harianku ada lagi menunggu pada tengahari nanti. Jam 1 tengahari, bergulinglah roda motosikal tua ini melanyak aspal jalan. Sekali lagi aku berangkat menuju ke sekolah untuk mengambil anak yang seorang ini. Tidak pernah tidak macet (jem) simpang di hadapan menuju ke pintu pagar sekolahnya. Demikianlah rutin harianku, setiap hari ia berlangsung kecuali hari Sabtu dan Ahad. 

Alhamdulillah, kendati nampak padatnya masa yang terisi, tetapi aku menjalani sirah kehidupan ini dengan bahagia sekali. Biarpun terpaksa menempuh jalanraya yang bersimpang-siur kenderaan yang bertenaga dan bernafsu garang. 

Sementelah, di waktu pagi dengan lampu-lampu kenderaan yang patuh menyorot jalan tar. Mana yang mahu menghantar anak ke sekolah, mana yang mahu ke tempat kerja, masing-masing punyai 1001 urusan kehidupan. Berlumba-lumba mengejar masa, membikin stress pada sesetengah orang. Ada juga sesekali berlaku kemalangan yang menambah kemacetan. 

“Sikecil Haikal yang istimewa” nampaknya sudah selesa dengan kodisi sekarang. Sekolah, guru-guru, rakan-rakan serta persekitaran, semuanya baharu. Setiap pagi bersiap dan membonceng ke sekolah tanpa melelahkan. Tentunya aku dan Ummu Ikhwan turut menumpang gembira dengan perkembangan ini. 

Alhamdulillah.

Subscribe to receive free email updates: