'Hujan renyai-renyai di pintu sempadan Terengganu - Pahang di sebelah daerah Kemaman'
Disebabkan ada komitmen lain yang tidak dapat diuzurkan, terpaksalah saya meminta Ummu Ikhwan menghantar anakanda Irsalina balik ke asramanya hari ini. Bagi Ummu Ikhwan pula ia bukanlah suatu yang mendatangkan kerumitan.
Namun hati kecil saya tersayat rasa kasihan kerana terpaksa membiarkannya memandu ke PPTI di Bakau Tinggi Kemaman, yang memakan jarak hampir 80 kilometer pergi dan balik. Sementelah lagi cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini. Sedang elok matahari memancarkan cahayanya, tiba-tiba diserkup mendung dan disusuli hujan lebat yang membataskan pandangan.
Jika diikutkan minggu ini bukanlah ‘minggu wajib balik’ bagi anakanda Irsalina, tetapi pada hari Selasa lalu, berlaku insiden yang tidak diingini. Menurut ceritanya, ketika menuruni tangga asrama untuk ke kelas, entah macamana dia tergelincir dan jatuh terduduk. Kondisi selepas hujan menyebabkan tangga tersebut basah dan licin.
Mujur juga (alhamdulillah) dia sempat berpaut sebelah tangan pada pemegang tangga, jika tidak tentu keadaannya lebih serius lagi setelah punggungnya terhenyak pada tangga batu tersebut. Ekoran itu, pada petang hari yang sama pihak sekolah telah menghubungi kami agar membawanya pulang.
Keesokan, setelah mengambilnya dari asrama dan langsung singgah di klinik berdekatan rumah kami. Bimbang juga kalau-kalau terdapat kecederaan dalaman apabila dia mengadu sakit dibahagian betis dan pinggang.
Alhamdulillah, hasil pemeriksaan sang perawat, nampaknya tidak ada kecederaan yang serius. Kami menadah tangan tanda syukur yang bersangatan kepada Ilahi. Pun begitu, anakanda Irsalina dibekali dengan ubat surut bengkak dan penahan sakit, serta cuti sakit selama dua hari.
Apa pun, setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan pelajaran. Tentunya sebagai hamba yang menjalani kehidupan di atas ketentuan taqdirnya, menerima dengan lapang dada dan penuh keinsafan. Mudah-mudahan apa yang berlaku menjadi kaffarah di atas kelalaian dan kesilapan yang kami lakukan dalam sirah kehidupan ini.
#Esok kena hantar anakanda Adawiyah balik semula ke asramanya setelah terpaksa pulang ke rumah pada Jumaat lalu, walaupun sama seperti kakaknya, bukan 'minggu wajib balik'. Ini kisah lain pula. Nampak gaya terpaksalah meminta khidmat Ummu Ikhwan sekali lagi..