'Pemberian sahabat yang amat mengujakan'
"Singgah rumah sekejap ye ustaz," sapa Zawawi kepada saya sewaktu kami sama-sama menyarungkan selipar di tangga surau. Malam yang indah dengan taburan bintang di langit, kendati musim tengkujuh belum berakhir. Kami beriringan menuju ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari surau.
Sahabat saya ini di antara yang istiqamah berjemaah di surau perumahan kami. Biarpun masih bertongkat dan terhencot-hencot mengatur langkah, ekoran kemalangan yang menimpanya setahun yang lalu.
Masih saya ingati, ketika menerima berita tragedi yang berlaku, seram sejuk dibuatnya. Bayangkan pada malam kejadian, beliau yang menunggang motosikal, diberitakan telah berlanggar dengan sebuah lori. Kebetulan pula waktu itu musim lori bauksit 'mengganas dan merajai' jalanraya di sekitar tempat kami.
Bimbang, terfikir yang bukan-bukan!
Buah tangan
"Ada apa tu?" Soal saya setelah tiba di hadapan rumahnya. Sedikit kehairanan.
"Adalah nak bagi sesuatu." balasnya seraya tersenyum sebelum menyelinap masuk ke dalam rumahnya.
Tidak berapa lama dia keluar dengan sesuatu ditangannya.
"Inilah dia, buah katak puru. Kan saya janji nak bagi dulu." ujarnya lagi sambil mengunjuk beg plastik berwarna kuning.
"La, susah-susah je.." saya membalas sambil menggaru-garu kepala. Beg plastik bertukar tangan.
Teringat saya peristiwa dua bulan lalu. Usai bersolat zohor di surau, saya bersama tiga lagi rakan duduk bergebang-gebang kosong di anjung surau tersebut. Tiga sahabat ini berasal dari Utara. Dua dari Kedah termasuk si Zawawi, manakala seorang lagi dari Perlis.
Bayangkan orang utara berborak sesama sendiri. Aduhai, saya yang bersama mereka, tidak banyak yang dapat saya tangkap butir bicara mereka terutama sahabat dari Perlis itu yang bercakap dengan laju. Akhirnya berlakonlah juga, sesekali mengangguk kepala seperti memahami, begitu juga saya tidak kisah untuk ketawa walaupun tidak faham apakah jenaka yang cuba diperkatakan.
Macam-macam kisah dan cerita yang dibualkan. Cerita musim hujan, bangunan surau, politik semasa, cat kereta dan sebagainya. Hinggalah masuk bab buah-buahan, daripada yang biasa dimakan sampailah yang jarang ditemui. Ketika itulah terbit kisah buah katak puru. Sesetengah tempat menggelarnya buah namnam. Kata mereka di sebelah Utara memang banyak kedapatan buah ini.
'Pokok buah katak puru atau namnam' - sumber: google
Terus-terang saya katakan bahawa tidak pernah melihat buah tersebut di depan mata. Hajatnya mahu juga mencicip buah tersebut, bagaimana rasanya. Tetapi nak cari di mana? Di daerah ini memang belum pernah lagi bersua di mana-mana gerai. Lagipun ia bukanlah sejenis buah yang biasa kedapatan seperti rambutan, duku, durian dan lain-lain. Akhirnya setelah puas bersembang, kami pun bersurai. Manakala kisah buah katak puru terhenti di situ, saya pula tidaklah ambil serius dan telah melupakannya.
Akhirnya, malam ini tanpa disangka-sangka si Zawawi membawa buah ini dari kampungnya. Bersungguh pula dia mencarinya. Saya tidaklah berharap sangat malahan telah pun lupa mengenainya. Tetapi itulah sahabat. Saya tidak mampu berkata apa..