'Jalan Tengah'
“Entah berapa orang lagi yang masih tinggal..” Hati berdetik tidak semena-mena. Demikianlah sore itu saya mengelamun dan berkhayal-khayal di jendela.
Ya, entah berapa bilangan lagi generasi tua di kampung saya yang masih tinggal. Mungkin yang masih ada dapat dibilang dengan jari atau mungkin juga telah pun tiada semuanya. Seketika itu saya segera membayangkan satu persatu wajah mereka yang telah tiada. Oh ya, generasi tua yang saya maksudkan ialah mereka yang baya-baya umur arwah orang tua saya.
Dua kematian
Dalam bulan ini (November) dua kematian telah berlaku yang melibatkan generasi lama kampung SKD. Saya menerima berita ini menerusi grup whatsapp kampung kami. Begitulah mudahnya dengan teknologi yang ada hari ini. Walaupun masing-masing bertebaran jauh di serata tempat, mencari rezeki dan membina kehidupan sendiri, namun teknologi ini menyatu dan mendekatkan antara satu sama lain.
Minggu lalu, berita pemergian mak long Munah tertera pada skrin telefon bimbit saya. Lantas rona wajahnya terbayang di hadapan mata. Lama sungguh saya tidak melihatnya, tidak sekali bertembung dengannya sewaktu pulang ke kampung. Seingat saya dulu dia sering menapak di jalan hadapan rumahnya (Jalan Tengah) ke kedai runcit membeli barang keperluan.
Rupa-rupanya beliau dalam keuzuran, terlantar di rumahnya. Seingat saya, usia lebih tua daripada arwah ibu saya hampir sepuluh tahun. Usia arwah ibu saya jika dia masih ada sekarang dalam 70 tahun, maknanya usia mak long Munah pula tentu dalam 80 tahun. Sudah tua benar.
Rumah mak Long Munah dengan rumah arwah ayahanda saya berada di jalan yang sama (Jalan Tengah). Dulu-dulu, bersebelahan rumahnya terdapat semak belukar tempat saya dan rakan-rakan bermain. Belukar resam yang subur menjadi tempat kami bermain berbagai permainan. Polis sentri, perang combat, tang nusuk (sorok-sorok) dan seribu satu macam permainan budak-budak. Selalu juga mak long Munah menjerit dari pintu rumahnya, bimbang kami terpijak duri atau sembilu.
Terdahulu daripada itu, kematian pertama pada awal bulan. Dalam jam 10 pagi henfon saya menjerit mengabarkan berita ini. "Kak Midah isteri Nik Yahya telah pulang ke rahmatullah. Akan dikebumikan pada jam sekian-sekian....."
Begitulah susunan ayat yang tertera menerusi aplikasi whatsapp yang saya baca. Kak Midah merupakan di antara sahahat baik arwah ibu saya. Selalu sangat mereka sekeluarga berkunjung ke rumah kami dan begitulah sebaliknya. Sifatnya yang banyak mulut menyebabkan dia mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Seperti mak long Munah, rumah Kak Midah juga berada di jalan yang sama dengan rumah kami.
Kenangan tahun 1984
Menyebut nama kak Midah, lantas mengingatkan saya kepada anak sulungnya, Nik Hamizul, yang pernah menjadi sahabat baik saya. Walaupun usia lebih tua daripada saya kira-kira empat tahun, namun ia bukanlah penghalang untuk kami bersahabat baik. Mungkin disebabkan keakraban orang tua kami, maka ia tumpah pula kepada kami.
Tetapi anak sulung arwah Kak Midah yang menjadi sahabat baik saya itu telah lama mendahului bertemu Tuhan. Arwah Mizul menghidap sakit jantung sejak kecil. Teringat saya menjelang akhir-akhir usia beliau, pada malam itu saya menemankan arwah emak ke rumah Kak Midah kerana ada perkara yang mahu mereka bincangkan. Sempat pada malam itu saya berborak dan bergurau dengan arwah Mizul sementara menantikan orang tua kami menyelesaikan urusan mereka.
Masih jelas diingatan, keesokan paginya ketika saya bersiap-siap mahu membersihkan diri sejurus bangkit daripada tidur, sayup-sayup pukulan beduk masjid memecah kesunyian pagi. Sehinggalah ketika hari telah cerah, seorang jiran memaklumkan berita pemergian Mizul. Tersepuk saya di tangga dapur, kaki terasa lemah-longlai tidak bermaya. Serangan jantung sebelum subuh telah menjadi asbab pemergiannya.
Sehingga hari ini saya masih lagi teringat akan wajahnya dan sembang kami pada malam itu. Benar-benar peristiwa di tahun 1984 itu menjadi kenang-kenangan sehingga kini. Moga Allah SWT merahmati mereka yang telah berkelana ke alam abadi..