Kunjungan yang menginsafkan (syafakallah duhai sahabatku)


Usai menyantuni anak-anak yatim dan kurang berkemampuan dalam program 'Back 2 School' (B2S) di bandar Temerloh, kami (YAMCP) membawa pula mereka menikmati makan tengahari di arked makanan yang berdekatan. Menu nasi ayam Temerloh menjadi habuan perut yang berkeroncong minta diisi. Alhamdulillah, seronok melihat keceriaan yang terpamer diwajah anak-anak yang diraikan. Kami juga turut tersenyum lebar tanda kepuasan.

Teringat nasihat seorang teman, agar tidak menonjolkan kerja-kerja kebajikan serta kemanusiaan yang dilakukan. Katanya, biarlah tangan kiri tidak mengetahui kebaikan yang dilakukan oleh tangan kanan. Maksudnya biarlah kebajikan yang dilakukan dengan disembunyikan. Saya sekadar tersenyum, tetapi hati kecil turut mengiyakan apa yang dimaksudkannya. Benar sahabatku, terima kasih atas nasihat yang sangat baik itu!

Dalam berkira-kira, saya menyimpulkan, pada hakikatnya, apa yang saya lakukan bukanlah atas dasar individu atau menonjolkan diri sendiri semata-mata. Tetapi ianya adalah kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Ada sebab dan alasan mengapa saya sering tonjolkan aktiviti dan program yang melibatkan NGO kami ini.

Bagi saya, ada perbezaan yang ketara di antara sesuatu yang dilakukan oleh individu dan kumpulan atau organissasi.  Jika dari sudut individu, ia adalah suatu yang boleh diterima, "sembunyikan". Namun, bagi pertubuhan atau organisasi yang bergerak di atas sumbangan orang ramai, setiap program kebajikan perlu ditonjolkan. Mengapa? Ianya agar orang ramai dapat melihat apa yang telah dilakukan dengan setiap sen sumbangan mereka. Malahan, dengan menonjolkan gerak kerja yang dilakukan dapat meraih kepercayaan orang ramai dan korporat untuk terus menyumbang.  

Benar, memang kebaikan yang dilakukan individu perlu ‘didiamkan’. Namun, ulama juga mengharuskan sesuatu kebaikan yang dibuat ditunjukkan kepada orang ramai. Ia tidak lain bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan orang ramai yang melihat agar mahu turut sama berbuat kebaikan menuai bakti. Walau bagaimanapun, perlulah berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam jurang gelap riyak yang membinasakan. Sebesar debu sifat riyak yang ada, maka ia akan membakar hangus amalan yang dilakukan dan memufliskan diri di akhirat kelak. 

Ah, jauh pula saya melencong. Apa pun terima kasih sahabat, akan saya ingat nasihat yang dititipkan. Saya mengambil manfaat daripadanya.

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman” (adz-Dzaariyaat: 55)  

Ke kampung Batu Sawar


Destinasi seterusnya adalah kampung Batu Sawar. Ia sebenarnya perancangan yang sudah diatur dalam mesyuarat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang tempohari. Bersama dengan dua lagi sahabat, perjalanan dimulakan. Manakala sahabat di Temerloh tidak ikut serta kerana perlu menghantar pulang anak-anak yatim tadi. Azan zohor sayup-sayup berkumandang tatkala kami bergerak keluar dari pusat bandar.

"Kita solat jamak di Batu Sawar nanti," tukas seorang sahabat, Johari namanya. Seorang yang sangat komited dalam kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan. Beliau baru sebulan pulang dari menyantuni pelarian Rohingya di khemah pelarian di Coxbazar, Bangladesh.

Dari pusat bandar Temerloh, kenderaan pacuan 4 roda yang dinaiki meluncur laju menyusuri aspal jalan menuju ke seberang sungai Pahang. Seterusnya membelok ke kiri memasuki jalan tar yang agak kecil. Sejujurnya saya belum pernah ke kampong Batu Sawar, namun seingat saya ada beberapa tempat yang juga berkongsi nama Batu Sawar seperti di Kuantan dan Kota Tinggi. Tetapi saya belum sampai lagi ke Batu Sawar di Kota Tinggi.

Hasrat ke sana semata-mata mahu menziarahi seorang sahabat, Ustaz Suaadi Saad yang sedang terlantar sakit. Dahulunya beliau juga salah seorang daripada ALP Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang, orang kuat rumah anak-anak yatim Permata Camar serta aktif berkuliah di masjid dan surau sekitar Kuantan. Ekoran kesakitan yang dihidapi, terpaksalah beliau melupakan semuanya. (insya-Allah, moga buat sementara waktu dan kembali sihat untuk kembali aktif seperti dahulu)

Ketentuan Tuhan, Ustaz Suaadi diuji dengan masalah kesihatan di bahagian tulang belakang. Sekira-kira sudah 4 tahun beliau terlantar kesakitan. Dunianya hanyalah terbaring di atas katil (Alhamdulillah, ketika ini ustaz Suaadi Saad sudah pun boleh duduk perlahan-lahan walaupun dalam keadaan kepayahan untuk mengangkat tubuhnya). Ujian yang tanggung beliau tambah berganda apabila isterinya meninggal dunia akibat kanser ketika usia sakitnya memasuki tahun kedua. Ekoran tiada siapa yang dapat menjaganya di Kuantan, beliau dan anak-anak dibawa pulang ke rumah orang tuanya di Batu Sawar, Temerloh. Kiranya bagi saya pula ini adalah kunjungan dan ziarah pertama setelah Ustaz Suaadi dibawa pulang ke kampung halamannya.

Sepanjang perjalanan mata saya dihiburkan dengan pemandangan hijau di kiri dan kanan. Rupa-rupanya ia sebuah kampung di pedalaman. Patutlah banyak rumah kayu bertiang tinggi dengan rekabentuk rumah Pahang tradisional. Manakala di sekeliling rumah penuh dengan pokok buah-buahan. Sememangnya saya mengimpikan suasana seperti ini. Tetapi berlainan pula dengan sahabat yang sedang memandu: “Aii, pecoh kepala duduk di sini.” Katanya sambil tersenyum.

Untuk sampai ke kampung Batu Sawar, perlu melewati beberapa kampung yang agak unik namanya. Beberapa nama kampung yang masih melekat di memori saya seperti kampung Berhala Gantang, kampung Badok, kampung Bintang dan kampung Sentang. Beberapa nama kampung lagi tidak sempat saya simpan di dalam kepala kerana asyik dengan panorama di sepanjang perjalanan.

Kunjungan yang menginsafkan

 'Bersama Ustaz Suaadi Saad. Kagum dengan ketabahan beliau'

Sesungguhnya sakit adalah ujian daripada Allah SWT. Seorang Muslim yang ditimpa sakit lalu bersabar dengannya, maka akan diampunkan dosa-dosanya oleh Allah. Malahan ada hikmah yang besar disebalik ujian tersebut. Mungkin hikmahnya dapat kita singkapkan, tetapi banyak pula yang terhijab dan menjadi rahsia Ilahi. Mungkin suatu hari nanti apabila hijab tersebut disingkap, barulah kita mengetahui akan hikmah kebaikannya. Justeru, sesiapa sahaja yang ditimpa ujian sakit, redhalah dengan memperbanyakkan zikir serta istighfar kepada-Nya.  Saya mengingati diri yang dhaif ini.

Sebagai orang Islam, kita sememangnya digalakkan menziarahi mereka yang sakit. Sesungguhnya ia termasuk hak sesama Muslim yang perlu ditunaikan sebagaimana sabda Rasulullah saw. Tatkala melihat seseorang yang terlantar sakit, maka barulah kita menyedari akan peri pentingnya nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Maka sebab itu Nabi saw memerintahkan rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Antaranya hargailah, manfaatkanlah nikmat sihat yang Allah kurniakan dengan menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya sebelum datang sakit. 

Alhamdulillah, ziarah hari ini saya dan beberapa orang sahabat benar-benar menginsafkan. Hampir tumpah juga airmata saya melihat keadaanya. Saya berpaling ke arah lain lalu menyekanya dengan lengan baju.  Teringat ucapannya satu ketika, "Di perumahan anta, antalah yang ana kenal dan paling rapat.." Benar persahabatan kami sangat akrab, persahabatan yang dibajai dengan ukhuwwah fillah.

Sambil bergebang-gebang, saya menikmati titipan peringatan yang penuh hikmah disampaikan oleh Ustaz Suaadi. Dan yang paling utama, kekaguman dengan kesabaran dan ketabahan beliau dalam menghadapi ujian serta dugaan hidup.

Seputar katanya sebelum kami berangkat pulang, "Kesihatan itu milik Allah, maka Dia berhak mengambilnya tanpa mengira sesiapa. Samada hamba-Nya itu seorang yang taat ataupun engkar. Seorang yang taat akan melihat musibah itu suatu kebaikan walaupun dipandangan makhluk ianya buruk dan tidak baik. Ana redha dengan apa yang berlaku.."    

Syafakallahu duhai sahabatku!

Subscribe to receive free email updates: