Mari sejenak kita mengoreksi perjalanan hidup kita di dunia ini. Alam yang penuh dengan duri dan kabut yang melingkari perjalanan kita. Di sanalah, terkadangnya kita gembira dan berduka. Kadang-kala kita tersenyum dan menangis. Seringkali perjalanan ini terasa terlalu lapang, namun tidak kurang juga sempit yang menghimpit lagaknya.
Itulah hakikatnya kehidupan ini. Semua itu merupakan ujian buat hamba-Nya, siapakah yang terbaik amalannya. Maka laluilah ia dengan penuh kesedaran, sedar bahawa ianya ketentuan dari-Nya, sama ada baik atau buruk.
Kita adalah faqir di sisi-Nya
Kita adalah manusia yang lemah, tidak berdaya dan tidak berkemampuan. Kita semua berhajat kepada-Nya. Hendak atau tidak, setuju atau engkar, manusia memerlukan Allah SWT dalam setiap saat kehidupannya. Tiada siapa yang dapat menafikannya. Walau siapa pun dia.
Allah SWT berfirman: “Wahai manusia! Kamulah yang faqir (sentiasa berhajat) kepada Allah, sedang Allah itu Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Faathir: 15)
Dalam ayat di atas Allah SWT mengatakan bahawa manusia semuanya faqir. Semuanya amat berharap kepada Allah, tiada yang terkecuali.
Faqir lebih rendah tarafnya daripada miskin. Jika miskin memberi makna cukup-cukup makan atau kais pagi makan pagi manakala faqir memberi makna tidak mempunyai apa-apa dan terpaksa meminta-minta. Itu istilah dari sudut bahasa.
Di dalam peristiwa Badar al-Kubra, diceritakan bahawa Rasulullah saw berdoa dan bermunajat pada malam 17 Ramadhan dengan bersungguh-sungguh, khusyuk dan merendah diri sehingga kain rida`nya yang di atas bahu jatuh ke tanah. Sehinggalah Abu Bakar as-Siddiq yang melihatnya lantas memujuk baginda dengan menyatakan:
“Cukuplah wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah SWT mendengar doa permohonanmu.”
Mengapa Rasulullah berdoa dengan begitu bersungguh-sungguh? Sedangkan baginda telah mengetahui bahawa Allah SWT akan memberikan kemenangan dengan bantuan dari para malaikat. Ulama menyatakan baginda mengetahui kemenangan tentera Islam di medan Badar kerana ketika tiba di kawasan yang akan berlaku pertempuran, baginda menunjukkan kepada para sahabat tempat terbunuhnya pemuka-pemuka Quraisy.
“Si polan bin si polan terbunuh di sini.”
“Manakala si polan bin si polan pula terbunuh di sini.”
Terbukti benar apa yang dinyatakan oleh Rasulullah.
Sesungguhnya Rasulullah saw mahu mengajarkan kepada umatnya bahawa faqirnya kita dan amat berhajatnya kita kepada Allah SWT. Maka menunduklah, hanya dengan ketundukan itu kita akan memperolehi keredhaan-Nya.
“Tidaklah Kami yang meminta rezeki daripadamu, bahkan Kamilah yang memberikan rezeki kepada kamu.” (Thaha: 132)