Seruan Kepada Agama Allah
Tugas amilin adalah mengajak manusia kepada agama Allah atau dalam ertikata yang lain adalah dakwah. Tugas ini mulia kerana ia adalah tugas para Nabi A.S. Kadang kala seruan ini, manusia dengar dan mereka menerima dan bersama Islam. Kadang kala juga seruan ini tidak didengari bahkan menjadi modal untuk mereka menghina akan seruan tersebut. Sebab itu terakam dalam sejarah para Nabi A.S, penerimaan seruan anbiya' itu berbeza-beza.
ابن عباس عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: “عرضت عليّ الأمم، فرأيت النبي ومعه الرهط، والنبي ومعه الرجل والرجلان، والنبي وليس معه أحد
"Diperlihatkan kepadaku umat manusia seluruhnya. Maka akupun melihat ada Nabi yang memiliki pengikut hanya sekelompok kecil manusia. Dan ada Nabi yang memiliki pengikut dua orang. Dan ada Nabi yang langsung tidak memiliki pengikut."
(Riwayat Bukhari)
Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa tanggungjawab dakwah menyeru manusia pada Islam itu wajib diteruskan sekalipun manusia itu menerima atau tidak. Hatta para Nabi A.S sendiri mengalami situasi demikian. Namun tugas dakwah dan mendidik manusia agar kembali pada agama fitrah ini terus dilangsungkan. Arahan dan perintah Ilahi sedikit pun tidak pudar dek penerimaan hambar seruan dakwah pada manusia ini.
Sedikit Tidak Bererti Lemah, Ramai Tidak Bererti Kuat
Dalam menggalas tugas para Nabi A.S ini, dua perkara yang diperingatkan secara tegas oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran yang sewajarnya dipegang kuat oleh para amilin. Pertama; hasil dari seruan dakwah, ada kalanya tidak ramai menerima seruan dan ajaran yang diajak. Perjuangan hanya didokongi oleh sedikit sahaja dalam kalangan manusia. Jumlah yang sedikit tidak menggambarkan perjuangan itu salah atau lemah. Ketika mula dakwah Nabi S.A.W, hanya segelintir bersama Nabi. Golongan ghuraba' setia mendampingi Baginda sama ada senang atau susah. Namun peperangan Badar menyaksikan bilangan yang sedikit tetapi jiwa yang penuh padat dengan kekuatan ruh jihad serta keyakinan pada Allah mengalahkan ketumbukan batalion tentera kuffar yang besar.
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
(surah Ali-Imran: 123)
"Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)."
Kedua; bilamana perjuangan itu dibanjiri oleh manusia, hasil dakwah dan seruan generasi da'ie di sepanjang zaman. Pelbagai strategi disusun bagi menghancurkan jurang dan jarak antara amilin dan para mad'u dalam kalangan masyarakat yang kosong jiwanya serta perlu diisi. Ketegangan percambahan idea untuk menarik manusia kepada agama Allah ini yang seringkali dibincangkan oleh Nabi dan para Sahabat A.S sehingga mencetuskan strategi-strategi luar biasa yang disusun oleh Baginda seperti peristiwa dakwah sirri dan jahri, usrah di Darul Arqam, sulhu Hudaibiyah, risalah rasmi kepada kuasa besar dunia dari Rom dan Parsi dan lain-lain.
PAS tampil dengan strategi pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) menongkah arus dengan membuang jauh politik yang menjadi kegilaan parti arus perdana kini. Iaitu budaya politik dengan penuh emosi, fitnah dan kebencian dalam semua keadaan yang hakikatnya memualkan masyarakat terutamanya anak muda. Strategi pendekatan BPMS ini memikat manusia bersama perjuangan Islam. Inilah hasil tiga elemen yang menjadi tonggak gerakan Islam ini iaitu dakwah, siyasah dan tarbiyah.
Namun limpahan masyarakat kepada perjuangan ini tidak sepatutnya menjadikan para amilin dalam keadaan selesa dan alpa. Allah S.W.T menegur secara tegas sifat 'over confident' sebahagian amilin yang alpa dari meletakkan kebergantungan mutlak pada Allah Taala. Teguran itu pada Sahabat yang dipimpin sendiri oleh Baginda Nabi S.A.W dalam peristiwa Peperangan Hunain. Sudah tentu keterujaan para Sahabat itu saling tak tumpah dengan keterujaan kita hari ini bila mana melihat berbondong-bondong ahli masyarakat mendaftar diri sebagai ahli PAS.
(لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ)
(surat At-Tawbah: 25)
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri."
Tugas Ahli Tarbiyah
Hari ini perjuangan PAS menjadi deruan masyarakat menerimanya. Kerja dakwah mendidik dan memahamkan manusia di setiap masa membuka mata masyarakat menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Mungkin bukan sebab seruan dakwah kita zaman sekarang ini tetapi barangkali mereka menerima perjuangan dengan hidayah Allah ini hasil usaha para ulama dan pendakwah dahulu yang telah meninggalkan kita.
Apabila manusia sudah menerima seruan dakwah ini, sudah tentu bermacam ragam, feel dan pemahaman mereka dan tidak sama dengan kita. Apatah lagi jika sekiranya asal usul mereka bukan dari keluarga yang memahami Islam. Dalam sirah Nabi S.A.W sendiri, setara Nabi pun berhadapan dengan situasi ini. Mereka yang masuk Islam hasil seruan dan dakwah Nabi dan para sahabat, ada yang kekal istiqamah dengan Islam yang dibawa dan diperjuangkan oleh Nabi S.A.W. Ada yang menjadi munafik, berpura-pura baik di hadapan Nabi dan kaum Muslimin. Dan ada yang keluar Islam mengkhianati kebaikan dan kejujuran yang telah diberikan oleh Nabi dan para Sahabat. Kemungkinan ini pasti berlaku. Kerana pemilik hidayah itu adalah Allah, bukan kita. Yang menggerak hati manusia itu adalah Allah.
(وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)
(surah Al-Anfal: 63)
"Dan (Dia-lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Justeru, di situlah peranan ahli tarbiyah. Di situlah sekali lagi tanggungjawab para amilin untuk sama-sama menjadi agen dalam mentarbiyah mereka yang baru, dengan suasana hidup mereka yang berbeza sebelum dari ini. Perlu dipertingkatkan kerja tarbiyah semaksimum mungkin. Kerja tarbiyah untuk menguatkan akidah mereka, keyakinan serta kefahaman mereka. Bukan menjarak dan membuang mereka dari bahtera perjuangan atau menunding jari atas kelemahan dan ketidakjituan fikrah mereka seperti kita.
Jika tidak, sia-sia kerja dakwah dengan pelbagai metode yang diketengahkan dan dibanggakan oleh para da'ie yang hebat-hebat. Susah perit dakwah dikuburkan hanya sebab mereka masih belum dimurnikan fikrah. Mencemuh dengan pelbagai tempelan sedangkan jiwa dan hati mereka sedang lembut untuk menerima sentuhan dan siraman tarbiyah serta acuan yang suci lagi murni.
USTAZ SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor