Lama sungguh tidak bersiaran. Ya, bukan hanya tidak mencoret, malahan berkunjung ke pondok kecil abuikhwan ini pun saya tidak lakukan. Setiap saat seakan pondok kecil ini digelimangi oleh suasana murung dan dipagut sepi. Pintu dan jendelanya tertutup rapat bagaikan tiada penghuni.
Demikianlah, saya menyaksikan pada ketika ini cuma dua entri yang termuat untuk tatapan pengunjung yang bertamu. Sahabat-sahabat berkunjung ke sini dan mendapati tiada yang baru, tentunya ia termasuk puing-puing kehampaan. Mungkinkah ada yang berfikir saya telah mula perlahan-lahan mengendurkan keinginan menulis dan mencatat. Mungkinkah? Insya-Allah, tidak sekali-kali berhenti daripadanya, selagi masih ada nikmat-nikmat anugerah Tuhan.
Sebenarnya dalam tempoh hampir sebulan ini laptop tua kesayangan mengalami kerosakan. Kali ini rosaknya tidak seperti yang sebelumnya. Kali ini ia agak kritikal. Maklumlah, hampir sepuluh tahun usia sejak saya membelinya dahulu. Justeru, memang wajarlah jika ia mengalami kerosakan ditahap tersebut.
Saya terkenangkan betapa besarnya jasa laptop tersebut kepada saya. Berapa banyak kerja-kerja kebajikan, misi kemanusiaan, dakwah dan sebagainya telah saya jayakan hasil bantuannya. Sungguh banyak!
Akhirnya, mengenangkan banyak kerja yang tertangguh dek ketiadaan laptop, maka saya mengambil keputusan untuk membeli yang baru. Tanpa diduga, aturan Allah SWT, ada pula yang berhasrat 'topup' sebahagian harga laptop baru tersebut. Alhamdulillah, kecil tapak tangan...
Laptop yang rosak itu belum lagi saya hantar ke kedai untuk dibaiki. Saya menjangkakan kos baikpulihnya agak mahal juga. Jika tidak berbaloi kosnya, tidak perlulah dibaiki dan lebih baik saya simpan sahaja buat kenang-kenangan. Tanpa disangka, kelmarin seorang sahabat menghubungi menawarkan untuk menanggung kos membaikinya. Allah, termenung seketika saya...
"Maka nikmat yang manakah yang kamu dustakan?"